Jumaat, 13 Ogos 2010

PKIM serah memorandum kepada MPPP

Bagi mengatasi masalah kekurangan rumah untuk golongan berpendapatan rendah, sebuah pertubuhan bukan kerajaan mencadangkan agar projek perumahan rakyat (PPR) dibangunkan di tanah-tanah terbiar milik kerajaan negeri.

Presiden Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM), Aminah Abdullah berkata, ramai di kalangan golongan berkenaan masih menyewa kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Menurutnya, tanah-tanah tersebut sepatutnya dimajukan untuk memenuhi keperluan setiap lapisan masyarakat.

"PKIM amat prihatin terhadap golongan berpendapatan rendah yang tidak memiliki kediaman sendiri oleh kerana semua perumahan dibina dengan kos tinggi.

"Terdapat ramai lagi di kalangan mereka ini tidak berkemampuan berbuat demikian," katanya selepas menyerahkan memorandum hak pemilikan hartanah kerajaan negeri kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Patahiyah Ismail di sini hari ini.

Antara kandungan memorandum berkenaan adalah cadangan supaya MPPP tidak tertumpu kepada projek-projek pembangunan untuk golongan atasan sahaja.

"Cadangan PKIM supaya pembangunan tidak bertumpu kepada projek mewah untuk golongan berpendapatan tinggi sahaja berikutan tanah MPPP adalah untuk pembangunan keperluan rakyat seperti PPR bagi golongan berpendapatan rendah," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 12 Ogos 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan