Jumaat, 13 Ogos 2010

Hikayat Pada Masa Itu...

DAP dan para pemimpinnya kini sering merujuk kepada kejayaan Singapura. Singapura itu dan Singapura ini. Malah, kononnya Pulau Pinang juga kini mendapatkan pelbagai nasihat daripada republik itu.

Kelmarin, Tony Pua, penasihat ekonomi DAP yang juga Ahli Parlimen PJ Utara, turut merujuk kepada sistem yang diamalkan di Singapura apabila mahu menasihati kerajaan Selangor supaya mansuhkan diskaun pembelian rumah untuk bumiputera.

Apabila beliau memperlekehkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia, dia juga merujuk kepada Singapura yang menurutnya republik itu berada di tahap tertinggi berjaya menarik pelaburan berbanding dengan negara-negara ASEAN lain.

Asyik-asyik Singapura. Kita memang sedar DAP dan parti yang memerintah Singapura sekarang iaitu PAP ialah adik-beradik. Mungkin kerana itu, tumpuannya banyak berkiblatkan republik itu.

Singapura ialah sebuah negara sudah tiada beraja yang mengamalkan sistem republik. Ada juga desas-desus yang mengatakan corak sistem sebegitulah yang diidam-idamkan oleh DAP. Benar atau tidak, saya tidak tahu, tapi berat-beratnya macam betul? Apapun hanya Allah Yang Maha Esa sahaja yang amat mengetahuinya.

Ekoran kegawatan politik yang memperlihatkan – teori saya – orang Melayu berpecah kepada enam (rujuk Cuit 25 Mac 2009: Melayu bukan UMNO lagi, Melayu sudah minoriti) maka tiada mustahil akhirnya, Singapura akan bersambung dengan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Perak, Pulau Pinang (sudah seakan-akan Singapura sekarang) serta Kedah. Apabila kesemua negeri ini bersambung dengan satu ideologi, maka tidak mustahil sistem pemerintahan yang diidam-idamkan oleh DAP itu akan menjadi kenyataan.

Pada masa itu, Singapura akan dikenali sebagai Singapura Raya (the greater Singapore) dan ia tidak perlu bimbang lagi dan pada masa itu DAP akan menjadi sebuah parti yang akan mendapat sokongan padu orang- orang Melayu yang berpecah enam tadi.

Pada masa itu juga, Pas akan terus bekerjasama dengan DAP – sama-sama bertepuk belakang – dengan disokong oleh jiran seberang Tambak Johor (yang pada masa itu semua pihak akan bersetuju bahawa Tambak Johor bukan lagi bernostalgik, dan ia akan dirobohkan bagi membolehkan air laut Selat Tebrau yang cukup kotor itu dapat mengalir dengan tenangnya dan kapal-kapal dapat berlayar melalui selat itu.)

Pasa masa itu, Tony Pua serta Lim Guan Eng serta Lim Kit Siang (mungkin akan menjadi Menteri Mentor Malaysia) akan memerintah. Tony Pua pada masa itu tidak perlu lagi mencadangkan itu dan ini, tapi sudah boleh meminda apa-apa sahaja akta yang difikirkan perlu untuk rakyat Malaysia, khususnya yang berkepentingan orang Melayu.

Pada masa itu juga, orang Melayu akan menjadi orang yang paling tenang kehidupannya di alam maya ini. Dan, pada masa itu juga orang Melayu tidak lagi akan bercakap mengenai soal perpaduan Pas-UMNO, kerana mungkin UMNO sudah tiada lagi, atau mungkin sudah bertukar nama.

Pas pada masa itu, akan menjadi parti yang paling gembira kerana dapat mengembangkan ajaran agamanya tanpa sebarang paksaan (berbanding masa sekarang dan pada zaman Mahafiraun dulu).

Nik Aziz Nik Mat, jika masih hidup pada masa itu akan menjadi orang yang paling gembira, segembiranya beliau apabila dapat berjabat tangan dengan Lee Kuan Yew di Kota Bharu tidak lama dulu.

Pada Masa Itu Lagi...

SEKARANG DAP terlalu memuja Singapura kerana hebatnya negara itu. Dan memuji orang Malaysia kerana dapat bekerja dengan gaji besar di negara itu.

Pada masa itu, Singapura bukan lagi menjadi tempat tinggal yang paling baik untuk rakyat di negara pulau itu. Mereka mahu mencari tapak-tapak rumah yang lebih besar. Jika sekarang mereka hanya menghuni di rumah-rumah kiub, mereka mahukan rumah-rumah banglo.

Ia hanya boleh diperoleh di tanah Semenanjung yang cukup luas ini. Sekarang pun, jika orang Singapura diberi kerakyatan Malaysia - saya boleh bayangkan, pintu sempadan akan pecah dirempuh mereka.

Mereka mahu mencari tanah yang lebih luas untuk hidup. Sekangkang kera, sudah tidak cukup. Jutawan dan bilionwan sana mahukan rumah yang lebih besar untuk mendirikan mahligai masing-masing. Negara pulau itu sudah terlalu kecil.

Itu pasal sekarang pun, ramai yang sudah bermastautin di Australia atau New Zealand kerana mereka mahukan tanah yang luas.

Pada masa itu, soal batasan sempadan bukan masalah lagi. Berduyun-duyunlah orang seberang sana, mencari ketenangan di tanah Semenanjung atau Sabah dan Sarawak yang penuh dengan kehijauan ini.

Tanah kini terbentang luas bagi mereka. Tidak perlu lagi ke Australia atau pun New Zealand.

Hukum alam sebenarnya berputar. Ia ada kitarannya. Hanya orang yang tidak tahu sejarah, tidak pernah percaya wujudnya kitaran seperti ini. Ingat sejarah; Singapura dulu milik orang lain, kini milik orang lain.

Malaysia juga tidak terkecuali.

Oleh Zaini Hassan, Utusan Malaysia

Lihatlah realiti wahai Lim Kit Siang...

SUARA Saudara Lim Kit Siang cukup nyaring, berapi-api dan kasar semalam ketika membangkitkan mengenai isu biasiswa kerajaan di Dewan Rakyat - yang dakwanya ia diagihkan secara tidak adil dan hanya mengutamakan orang Melayu dan bumiputera sahaja.


Saya sungguh hairan mengapa beliau membangkitkan isu mengenai kaum itu. Kaum mana yang beliau sebenarnya perjuangkan dalam partinya? Jika orang Melayu ketinggalan dalam serba-serbi adakah beliau akan membelanya? Jika kebanyakan orang Melayu dan kaum bumiputara lain masih terkial-kial di luar bandar - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang - membanting tulang di sawah-sawah padi, sedangkan tauke-tauke hidup senang-lenang, adakah DAP akan turut menjadi juara membela mereka?

Mengapa DAP yang mendakwa berjuang berdasarkan hak asasi manusia, kesaksamaan, keadilan sosial dan ekonomi tidak mahu memperjuangkan nasib kaum bumiputera yang masih ketinggalan dalam ekonomi, sosial dan serba-serbi?

Mengapa isu biasiswa kerajaan (yang terlalu sedikit jumlah itu) digembar-gemburkan sehingga menjadi sebagai isu yang membara dan terlalu besar? Apakah Kit Siang mahu meraih simpati politik dan mahu mencetuskan suasana panas di kalangan kaum?

Tahukah Kit Siang kaum mana yang paling ramai belajar di luar negara sekarang? Berapa banyak yayasan-yayasan persendirian yang dikuasai oleh tauke-tauke besar, jutawan dan bilionair Cina yang menaja pelajar-pelajar bangsa mereka.

Jika kerajaan tidak memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar bumiputera yang cerdik pandai ini siapa lagi yang mahu memberinya?

Tahukah Kit Siang siapakah anak- anak bumiputera yang pandai-pandai itu. Kebanyakannya mereka datang dari luar bandar. Siapa yang mahu mempedulikan mereka jika bukan kerajaan? Apakah yayasan-yayasan yang disebut tadi mahu menaja anak-anak kampung itu untuk melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti terbaik?

Kita tidak menafikan soal meritokrasi amat penting dalam penganugerahan biasiswa itu. Siapa yang layak dia akan dapat, tapi janganlah terlalu mempersoalkan isu ini sehingga menyebabkan kaum- kaum lain marah kepada kerajaan dan orang Melayu - kononnya kaum lain (terutamanya kaum yang banyak menyokong DAP) dinafikan hak dan diketepikan.

DAP cuba menonjolkan bahawa yang jahat ialah orang Melayu dan kerajaan.

Lihatlah hakikat di depan mata kita sekarang. Berapa ramai pelajar-pelajar bukan Melayu yang mendapat tajaan - malah oleh negara jiran untuk belajar di negara itu dan akhirnya terus menetap di sana, di Hong Kong malah di Taiwan.

Kita hairan, salahkah jika kerajaan mahu menolong anak-anak bumiputera yang mewakili kaum majoriti di negara ini? Di negara jiran Singapura juga, masih wujud jurang dan ketidaksamaan meklibatkan kaum. Tapi Melayu di sana tidak pernah berkobar-kobar pun seperti Kit Siang? Apakah orang Melayu di Singapura tidak boleh berkata apa-apa? Itu kita tidak tahulah. Tapi negara itu juga mengamalkan pendekatan yang sama seperti yang diamalkan oleh DAP di negara ini, bukan?

Oleh itu Kit Siang dan pihak-pihak lain, lihatlah kenyataan di depan anda. Siapa dia barisan bilionair-bilionair dan laksawan (terlalu kaya) yang hidup mewah di negara ini? Siapa dia yang menguasai ekonomi di negara ini? Siapa ahli-ahli profesional yang bersepah di negara ini? Siapa pemilik kedai-kedai perniagaan kecil atau besar di merata pelosok tempat di tanah air ini? Siapa yang tinggal di banglo-banglo besar yang merata di bandar-bandar besar di negara ini?

Saudara Kit Siang, tolonglah janganlah membangkitkan soal-soal yang boleh membakar perasaan antara kaum lagi. Kita sudah letih, kita sudah bosan. Kita mahu hidup dengan aman, tenteram dan harmoni. Kita mahu supaya kekayaan di negara ini dikongsi bersama - bukan oleh satu pihak sahaja. Kita mahu orang Cina juga mengajar orang Melayu berniaga.

Hakikatnya jika kita perincikan dasar-dasar kerajaan sebenarnya ia sebenarnya telah 'mengkayakan' bangsa lain yang mendapat tempiasan lebih lumayan daripada orang Melayu dan kaum bumiputera itu sendiri.

Jika dulu selepas peristiwa 13 Mei 1969 rakyat Malaysia kembali bertaut untuk hidup aman damai dan hormat menghormati - bagi membantu antara kaum memperbaiki diri masing-masing - mengapa falsafah itu semakin longgar?

Apakah kita semua sudah lupa? Apakah kita semua ini semakin selesa? Apakah kita ini sudah terlalu sombong dan bongkak?

Hakikatnya orang bumiputera di negara ini masih perlu dibantu. Lihatlah di mana orang Melayu berada? Jika saya katakan orang Melayu di Pulau Pinang adalah golongan kelas kedua - apakah DAP akan marah? Tapi itulah hakikatnya. Di mana pula orang Iban, Kadazan, Bidayuh dan lain-lainnya? Mereka semua masih perlukan bantuan.

Hayatilah puisi Usman Awang (seperti Cuit minggu lepas) yang menggambarkan murahnya hati orang Melayu:

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak dipangkuan mati kebuluran"

Lihatlah realiti itu wahai Kit Siang. Janganlah emosional, anda mewakili kaum yang paling bernasib baik di muka bumi ini.

ZAINI HASSAN

zaini.hassan@utusan.com.my
17 Jun 2009

PKIM serah memorandum kepada MPPP

Bagi mengatasi masalah kekurangan rumah untuk golongan berpendapatan rendah, sebuah pertubuhan bukan kerajaan mencadangkan agar projek perumahan rakyat (PPR) dibangunkan di tanah-tanah terbiar milik kerajaan negeri.

Presiden Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM), Aminah Abdullah berkata, ramai di kalangan golongan berkenaan masih menyewa kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Menurutnya, tanah-tanah tersebut sepatutnya dimajukan untuk memenuhi keperluan setiap lapisan masyarakat.

"PKIM amat prihatin terhadap golongan berpendapatan rendah yang tidak memiliki kediaman sendiri oleh kerana semua perumahan dibina dengan kos tinggi.

"Terdapat ramai lagi di kalangan mereka ini tidak berkemampuan berbuat demikian," katanya selepas menyerahkan memorandum hak pemilikan hartanah kerajaan negeri kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Patahiyah Ismail di sini hari ini.

Antara kandungan memorandum berkenaan adalah cadangan supaya MPPP tidak tertumpu kepada projek-projek pembangunan untuk golongan atasan sahaja.

"Cadangan PKIM supaya pembangunan tidak bertumpu kepada projek mewah untuk golongan berpendapatan tinggi sahaja berikutan tanah MPPP adalah untuk pembangunan keperluan rakyat seperti PPR bagi golongan berpendapatan rendah," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia, 12 Ogos 2010

Khamis, 12 Ogos 2010

PDC putar belit fakta - KMA

Kerajaan negeri cuba mengelirukan rakyat dalam isu peniaga Bazar Ramadan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini yang dihalang berniaga oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Komtar (KMA), Mohamed Ghani Abd. Jiman berkata, dakwaan PDC bahawa kegagalan KMA membayar sewa menjadi punca berlaku masalah adalah tidak benar. Beliau yang kesal dan menganggap PDC cuba memutar-belitkan fakta berkata, berdasarkan surat PDC bertarikh 6 Ogos 2010, KMA diminta membuat pembayaran pendahuluan sewa sebanyak RM17,500 pada 9 Ogos lalu.

"Jika bayaran perlu dijelaskan pada 9 Ogos (semalam), kenapa kontraktor kami dihalang daripada melakukan kerja-kerja pemasangan gerai pada 6 Ogos (Jumaat)? "Justeru, tidak timbul isu KMA tidak bayar sewa kepada PDC," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

PDC dalam kenyataannya semalam menafikan pihaknya menghalang 27 peniaga Bazar Ramadan di tingkat tiga Komtar beroperasi. Kenyataan itu menyebut, KMA telah mendirikan gerai sebelum sebarang kelulusan diterima dan tanpa membayar sewa. Di samping itu, KMA didakwa tidak mendirikan 10 gerai seperti yang diluluskan sebaliknya 27 gerai. Mohamed Ghani menambah, surat berkenaan juga dihantar melalui faks pada pukul 6.57 petang, hari Jumaat yang mana pejabat KMA telah ditutup, begitu juga Sabtu dan Ahad.

Mengenai dakwaan PDC bahawa KMA mendirikan 27 gerai bukannya 10 gerai, beliau menjelaskan, dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Pemulihan Komtar yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik pada 5 Ogos lalu, telah dipersetujui jumlah gerai adalah berdasarkan penganjuran tahun-tahun sebelum ini. "Dalam mesyuarat itu telah dipersetujui jumlah gerai yang boleh didirikan adalah seperti yang diamalkan sebelum ini. "Jika tahun-tahun lalu kita dirikan kira-kira 35 gerai, tahun ini KMA merasakan 27 gerai sudah memadai bagi mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan," katanya. 

Mohamed Ghani berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya dan berkemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap PDC kerana menuduh KMA tidak membayar sewa dan tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Sumber: Utusan Malaysia, 10 Ogos 2010